Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANIPT boleh pilih kuliah 'online' sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN - KPT

IPT boleh pilih kuliah ‘online’ sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN – KPT

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dibenarkan membuat pilihan untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Mei ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kelonggaran itu diberikan bagi mengurangkan kesan penutupan jalan serta kawalan keselamatan yang dijangka menyebabkan kesesakan, terutama di sekitar Lembah Klang.

“Cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga selaras nilai teras Malaysia MADANI, KPT memberi kemudahan kepada IPTA dan IPTS membuat pilihan menjalankan sesi PdP secara dalam talian atau fizikal,” kata kenyataan itu.

KPT turut menasihati setiap institusi untuk menyemak lokasi, masa dan tarikh penutupan jalan yang berkaitan sebelum membuat keputusan pelaksanaan PdP.

“Langkah ini penting untuk memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu serta warga institusi tidak terkesan dengan kesesakan lalu lintas,” katanya lagi.

Pelajar dan warga IPT yang terkesan dinasihatkan untuk berhubung terus dengan institusi masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sesi PdP sepanjang tempoh tersebut.

Sidang Kemuncak ASEAN dijangka menarik kehadiran ramai pemimpin serantau dan delegasi rasmi, justeru kawalan keselamatan ketat serta perubahan aliran trafik akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN