Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAHIBURANIsteri Fikry Ibrahim fail cerai, dakwa tiada persefahaman

Isteri Fikry Ibrahim fail cerai, dakwa tiada persefahaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelakon terkenal, Fikry Ibrahim, iaitu Siti Khalizah Alihan mengejutkan ramai pihak apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini bagi memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya atas alasan tiada lagi persefahaman.

Peguam syarie yang mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd. Razib memaklumkan, permohonan itu telah difailkan pada Mei lalu dan hari ini merupakan sebutan pertama kes berkenaan.

“Defendan, iaitu Fikry tidak hadir pada prosiding hari ini. Bagaimanapun, sebutan kali kedua ditetapkan pada 10 September depan bagi memberi ruang kepada kedua-dua pihak mencari jalan pendamaian,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.

Tambah beliau, saman perceraian telah diserahkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, dan isu utama yang mendorong perceraian adalah ketiadaan persefahaman antara pasangan tersebut.

Walaupun permohonan cerai telah difailkan, Wan Muhammad Afiq berkata pihak plaintif masih terbuka untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang baik.

“Setakat ini, anak guam saya masih berharap ada ruang untuk berdamai. Segalanya bergantung kepada respons pihak defendan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Siti Khalizah yang kelihatan sugul sebaik keluar dari dewan bicara enggan memberikan sebarang komen kepada pihak media.

“Minta maaf, saya tak boleh beri apa-apa komen sekarang,” ujarnya ringkas.

Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis akad nikah yang diadakan di sebuah masjid di Jitra, Kedah. Kehadiran Siti Khalizah ke mahkamah hari ini dengan persalinan serba hitam nyata mengejutkan peminat dan pengikut industri hiburan tanah air.

Kes ini dijangka disambung semula pada 10 September depan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN