KUALA LUMPUR – Kemelut rumah tangga pelakon Fikry Ibrahim dan isterinya, Siti Khalizah Alihan, memasuki fasa baharu apabila Siti Khalizah disahkan telah menarik semula permohonan cerai yang difailkannya terhadap suaminya pada Mei lalu.
Peguam syarie mewakili Siti Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd. Razif mengesahkan bahawa anak guamnya hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam untuk menarik balik permohonan perceraian tersebut.
“Ya, apa yang Fikry maklumkan semalam dalam program Melodi adalah benar. Saya sahkan bahawa Khalizah telah membuat permohonan untuk menarik semula kes perceraian mereka,” katanya kepada media hari ini.
Tambah beliau, mahkamah turut memberikan ruang kepada pasangan itu untuk berbincang dan mencari jalan perdamaian bagi menyelamatkan perkahwinan mereka.
“Sekarang diberikan laluan untuk mereka berbincang bagi meleraikan kemelut rumah tangga ini,” jelasnya.
Dalam prosiding semalam, Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 September depan.
Sebelum ini, Wan Muhammad Afiq memaklumkan permohonan cerai dibuat atas alasan tiada lagi persefahaman antara pasangan terbabit. Namun, Fikry dalam satu temu bual bersama program Melodi menafikan berlaku masalah rumah tangga, termasuk dakwaan beliau berkahwin secara paksa.
Fikry turut menjelaskan bahawa kehadiran isterinya ke mahkamah adalah semata-mata untuk menarik semula permohonan cerai berkenaan yang difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Untuk rekod, pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari lalu dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Kedah dan dihadiri keluarga serta kenalan rapat sahaja.