KUANTAN – Barisan kejurulatihan dan pemain Sri Pahang FC akhirnya boleh menarik nafas lega apabila isu tunggakan gaji yang dihadapi sebelum ini telah diselesaikan sepenuhnya.
Pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh, mengesahkan bahawa bayaran gaji telah dilunaskan pada bulan Ramadan dan berharap skuad itu dapat memberi tumpuan penuh menjelang final Piala Malaysia pada 26 April ini.
“Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku pemilik kelab mengotakan janji untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada semua barisan kejurulatihan dan pemain.
“Ia membuktikan bahawa baginda memberikan sepenuh komitmen terhadap kebajikan pasukan. Oleh itu, saya mengharapkan komitmen tinggi daripada skuad Tok Gajah apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti,” katanya.
Sebelum ini, walaupun berdepan isu gaji, skuad kendalian Fandi Ahmad tetap bersemangat dan berjaya melangkah ke pentas final Piala Malaysia.
Dollah turut berharap pasukan dapat memberikan tentangan sengit kepada JDT, memandangkan kali terakhir Sri Pahang beraksi di final adalah pada tahun 2014, di mana mereka muncul juara selepas menewaskan JDT.