Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALJadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai 2025, 23.6 juta pengguna domestik...

Jadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai 2025, 23.6 juta pengguna domestik nikmati kadar lebih adil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bakal menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.


Menurut kenyataan media oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), kadar purata tarif asas bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) telah diselaraskan kepada 45.40 sen setiap kilowatt-jam (kWj), berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.


“Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik dijangka berkurangan sehingga 19 peratus berbanding kadar terdahulu dalam RP3,” menurut kenyataan itu.

Tarif baharu ini dilaksanakan di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR) seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990. Penyesuaian tarif akan mula ditunjukkan dalam bil elektrik bermula penggunaan bulan Julai 2025.


ST memaklumkan bahawa jadual tarif baharu ini turut melibatkan semakan semula kategori pengguna kepada dua kumpulan utama iaitu domestik dan bukan domestik, bergantung kepada tahap penggunaan voltan rendah, sederhana atau tinggi.


Penetapan baharu ini turut melibatkan struktur caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian, dan peruncitan yang lebih telus dan mencerminkan kos sebenar pembekalan elektrik.


Sebagai insentif, ST akan memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih berhemah. Pengguna domestik dengan penggunaan 1,000 kWj ke bawah tidak akan terkesan daripada pelaksanaan tarif baharu ini. Malah, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah juga akan mendapat manfaat yang sama.


Dalam usaha untuk mempromosikan pengurusan penggunaan tenaga yang lebih bijak, skim Masa Penggunaan (TOU) telah diselaras semula dengan memanjangkan tempoh luar waktu puncak, termasuk keseluruhan hari Sabtu dan Ahad serta dari jam 10 malam hingga 2 petang pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat). Penggunaan tenaga dalam tempoh luar puncak ini akan membolehkan pengguna menikmati penjimatan yang lebih besar.
Bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan masyarakat terus terpelihara, kerajaan turut mengekalkan tarif khas untuk kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan, serta operator rel (traction). Selain itu, rebat sebanyak 10 peratus turut diberikan kepada institusi pengajian tinggi berdaftar, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat.


ST turut mengesahkan bahawa Program Rebat Bil Elektrik RM40 diteruskan bagi membantu Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Dengan pelaksanaan jadual tarif baharu ini, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci. Majoriti pengguna dijangka tidak akan terjejas, malah akan menikmati lebih penjimatan sekiranya mengamalkan penggunaan tenaga yang cekap dan berhemah.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN