KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa beberapa laluan di sekitar Lembah Klang akan ditutup secara berperingkat bermula esok bagi memberi laluan kepada sesi raptai atau dry run sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook hari ini, KDN menjelaskan bahawa sesi raptai kawalan trafik itu akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada 21 dan 22 Mei, melibatkan kawalan serta simulasi keselamatan seperti yang dijadualkan pada hari sebenar persidangan.
“Dry run ini meliputi pergerakan motoked, kawalan laluan dan lokasi persidangan serta simulasi kawalan keselamatan di beberapa lokasi utama termasuk hotel-hotel penginapan delegasi, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dan Istana Negara,” kata kenyataan itu.
Tambah KDN, penutupan jalan akan dilakukan mengikut jadual rasmi yang telah diumumkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman semalam.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mengelakkan laluan yang terlibat serta sentiasa mematuhi arahan petugas trafik yang bertugas. Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi memastikan kelancaran persiapan Malaysia selaku tuan rumah,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri pada sidang akhbar semalam memaklumkan bahawa sebanyak enam lebuh raya dan 25 laluan utama di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan bermula 23 hingga 28 Mei ini.
Menurut beliau, setiap penutupan dijangka berlangsung antara 30 hingga 45 minit secara berkala mengikut jadual pergerakan delegasi.
“Laluan akan dibuka semula sebaik sahaja semua konvoi delegasi selesai melalui kawasan yang terlibat,” jelas beliau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama serantau dan memerlukan tahap keselamatan serta penyelarasan lalu lintas yang tinggi bagi memastikan kelancaran sepanjang acara berlangsung.