Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMATERKINI"Jangan buat andaian, jangan buat spekulasi" - peguam Naim

“Jangan buat andaian, jangan buat spekulasi” – peguam Naim

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Peguam kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, Mohd Irwan Sumadi menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berhubung kes melibatkan anak guamnya.

Menurut beliau, proses undang-undang perlu dihormati dan ruang perlu diberikan kepada pihak pembelaan untuk menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

“Kami menyeru kepada semua, jangan buat andaian, jangan buat spekulasi.

“Biarkan kami jalankan pembelaan dan biarlah mahkamah yang mulia melaksanakan tugasnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada MYBERITA, hari ini.

Dalam masa sama, Mohd Irwan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong Naim Daniel sepanjang proses perundangan ini.

“Kepada semua penyokong Naim Daniel, teruskan percaya kepada keadilan,” ujarnya ringkas.

Setakat ini, Naim belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu yang tular di media sosial.

Terdahulu, MYBERITA melaporkan Naim Daniel tampil di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi pertuduhan melibatkan kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bawah umur.

Dalam prosiding tertutup yang berlangsung di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary, penyanyi dan pelakon itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Naim didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor pada 19 Mei lalu.

Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin, manakala pihak pembelaan diwakili dua peguam bela iaitu Mohd. Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Naim sebelum ini ditahan pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN