MANJUNG – Karnival Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) berjaya menamatkan siri jelajahnya dengan penganjuran terakhir di Manjung, Perak, hari ini sekaligus selesainya lawatan ke sepuluh zon yang bermula sejak Februari lalu.
JMU 2025 merupakan platform utama dalam memperluaskan akses dan memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar lepasan SPM, STPM dan setaraf tentang peluang pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.
Karnival ini menyediakan peluang kepada bakal mahasiswa untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai proses permohonan UPUOnline, pilihan program pengajian berdasarkan minat dan kelayakan, serta maklumat berkaitan pinjaman pendidikan, tajaan dan bantuan kewangan.
Selain itu, interaksi langsung bersama wakil IPTA dan alumni turut memudahkan pelajar membuat keputusan yang tepat dalam memilih laluan pendidikan mereka.
Bagi menjangkau pelajar di seluruh negara, JMU 2025 turut disiarkan secara dalam talian melalui platform media sosial rasmi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Sebagai rakan strategik dalam penganjuran di Manjung, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut mempersembahkan Festival POLYCC yang menawarkan pelbagai kursus pendek secara percuma kepada pengunjung karnival.
Kementerian Pendidikan Tinggi berharap, penganjuran JMU 2025 di 10 lokasi ini memberikan manfaat kepada pelajar, ibu bapa, guru, kaunselor dan orang awam, serta membantu mereka membuat pilihan pendidikan yang tepat untuk masa depan yang lebih cerah.