KUALA LUMPUR – Beberapa premis penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah di Pasar Borong Selayang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) awal pagi tadi, susulan risikan tiga minggu yang mendapati aktiviti penyembelihan dijalankan oleh warga asing tanpa tauliah.
Serbuan bermula sekitar 1.45 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas (BPOK) JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), membabitkan enam premis yang beroperasi secara bersebelahan.
Wartawan yang turut menyertai operasi mendapati hanya satu daripada enam premis memiliki penyembelih bertauliah warga tempatan yang diperakui pihak berkuasa.
Selebihnya disyaki bergantung kepada pekerja asing, termasuk mereka yang tidak memiliki dokumen sah atau menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Premis berkenaan turut didapati dalam keadaan menjijikkan dengan bau busuk, lantai dipenuhi najis dan ayam disembelih diletakkan terus di atas lantai.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, seramai 36 lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan itu, terdiri daripada 10 warga Bangladesh, 25 warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.
“Pemeriksaan mendapati hanya dua warga tempatan memiliki tauliah menyembelih yang sah.
“Tahanan didapati melanggar beberapa kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Siasatan turut mendapati sesetengah premis dipercayai menggunakan kaedah water stunning dengan voltan tinggi yang boleh menyebabkan ayam mati sebelum disembelih, yang bercanggah dengan hukum syarak.
JAIS sedang menyiasat perkara itu mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Jurucakap JAIS berkata, hasil pemeriksaan awal menunjukkan ada ayam yang mati sebelum proses sembelihan, menyebabkan status halalnya diragui.