Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHJPJ larang pemanduan kenderaan barangan sempena Aidilfitri selama empat hari

JPJ larang pemanduan kenderaan barangan sempena Aidilfitri selama empat hari

Loke ketika meninjau operasi khas JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih. (Foto Adam Hafiz Ahmad)

HULU LANGAT – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan larangan pemanduan terhadap kenderaan barangan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata larangan ini akan berkuat kuasa selama empat hari iaitu pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pelaksanaan larangan ini mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang bergerak pulang ke kampung halaman. Tujuan utama larangan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran antara kenderaan barangan dan kenderaan persendirian,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih, semalam.

Dalam majlis itu, Anthony Loke turut menyertai operasi khas JPJ dan memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal sebagai simbolik pematuhan keselamatan jalan raya. Hadir sama, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli; Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Menurut Anthony, pemilik dan pemandu kenderaan barangan yang ingkar terhadap larangan ini boleh dikenakan tindakan tegas.

“Sekiranya terdapat kenderaan yang gagal mematuhi larangan ini, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau didenda di mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa JPJ akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 bermula 24 Mac hingga 8 April 2025 di seluruh negara. Operasi ini akan memberi tumpuan kepada pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Sebagai usaha berterusan MOT dan JPJ dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya semasa musim perayaan, strategi penguatkuasaan secara menyeluruh dan berfokus akan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menjadikan aspek keselamatan sebagai keutamaan sepanjang perjalanan mereka.

Orang ramai juga boleh melaporkan sebarang kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ di menu e-Aduan@jpj atau emel rasmi aduan JPJ di aduantrafik@jpj.gov.my.
Iklan
ARTIKEL BERKAITAN