JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan rekaan ilustrasi terbaru Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang kini dilengkapi ciri keselamatan dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan dan penipuan identiti.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kad LMM versi terkini ini diedarkan secara berperingkat bermula hari ini di seluruh negara dan hanya dikeluarkan kepada warganegara yang akan ke luar negara serta bukan warganegara.
“Bagi pemohon biasa yang memperbaharui lesen, mereka hanya akan menerima versi digital melalui aplikasi MyJPJ.
“Walaupun ada negara seperti Singapura yang menerima lesen digital, masih banyak negara lain yang memerlukan lesen fizikal dan permit memandu antarabangsa (IDP),” katanya dalam sidang media di Institut Memandu Intensif Adda Height, Johor Bahru hari ini.
Menurut beliau, rekaan baharu LMM menampilkan latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad dan motif gelombang pada bahagian hadapan, manakala bahagian belakang pula memaparkan Istana Negara dan motif flora abstrak.
Kad ini tahan digunakan sehingga 10 tahun dan direka untuk mencegah sebarang pengubahsuaian atau pemalsuan.
Beliau menjelaskan bahawa pengeluaran kad ini sedang dilakukan secara berperingkat di beberapa cawangan JPJ terpilih bagi memastikan peralihan lancar daripada sistem kad lama ke versi baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ turut mengumumkan penambahbaikan terhadap tiga elemen utama pelesenan dan operasi di 248 institut memandu (IM) seluruh negara.
Langkah ini bertujuan mempertingkat integriti, kualiti perkhidmatan serta mengatasi isu kelewatan dan ketirisan dalam sistem sedia ada.
Antara elemen yang ditambah baik termasuk garis panduan penubuhan institut memandu baharu, pelaksanaan sistem eTesting serta penggunaan pusat ujian komputer KPP01, dan operasi penguatkuasaan khas terhadap IM.
“Sebagai contoh, ada calon di Klang yang terpaksa menunggu sehingga tiga bulan untuk menyelesaikan proses pembelajaran, manakala di tempat lain seperti Adda Height hanya memerlukan satu bulan,” ujarnya.
Mengenai Operasi Khas Penguatkuasaan IM (OKIM) di Johor hari ini, Aedy Fadly berkata dua institut memandu didapati melakukan 80 kesalahan termasuk mengajar lebih calon daripada dibenarkan, calon belajar tanpa pengawasan, pengajar tanpa sijil SPIM, merokok semasa mengajar dan kegagalan merekod sesi pengajaran.
JPJ menegaskan komitmen untuk terus menambah baik sistem latihan pemandu dan penguatkuasaan bagi memastikan kualiti serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.