JOHOR BAHRU – Tindakan dua pemandu bas yang memandu secara berbahaya dan laju seperti yang tular di media sosial baru-baru ini menerima padah apabila dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kejadian tersebut dikesan berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai serta sekitar kawasan Mersing, Johor.
Menurutnya, siasatan telah dijalankan terhadap kedua-dua kenderaan yang terlibat dan notis saman telah dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagi kes pertama yang melibatkan sebuah bas ekspres, notis saman dikeluarkan atas kesalahan memotong secara berbahaya (Kaedah 6, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1956) dan memandu di lorong kecemasan (Kaedah 53, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1956),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bagi kes kedua pula, pemandu dan pemilik kenderaan turut dikenakan Notis Temu Siasat (114) bagi tindakan lanjut berhubung kesalahan yang dilakukan di sekitar Mersing.
Aedy Fadly menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kenderaan yang melanggar peraturan dan akan mengambil tindakan tegas demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Pihak syarikat juga dinasihatkan untuk lebih peka dan memantau etika pemanduan pemandu masing-masing bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya,” katanya.
JPJ turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan aduan keselamatan lalu lintas, sambil menyeru orang ramai untuk terus membuat laporan secara masa nyata melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran lengkap.
Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan sebuah bas ekspres dipandu secara berbahaya di lebuh raya utama apabila menggunakan lorong kecemasan untuk memotong beberapa kenderaan sebelum menghimpit ke laluan kanan, nyaris menyebabkan kemalangan.
JPJ menegaskan bahawa tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.