KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran di seluruh negara bermula 1 Julai ini, dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan peraturan itu akan membabitkan semua bas yang dibina mulai 1 Januari 2020, yang telah diwartakan untuk dilengkapi dengan tali pinggang keledar pada tempat duduk penumpang.
“Bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, kita sedang menjalankan sesi libat urus dengan pihak industri untuk memberikan tempoh yang sesuai kepada pengendali membuat pemasangan tali pinggang keledar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Setia Khas JPJ Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua syarikat pengendali bas diwajibkan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang sebelum kenderaan memulakan perjalanan.
“JPJ akan mengeluarkan garis panduan khas kepada pengendali bagi memastikan pematuhan terhadap arahan ini. Jika gagal dipatuhi, pemandu, penumpang dan pengendali akan dikenakan saman sebanyak RM300,” katanya.
Tambah Aedy Fadly, peraturan baharu ini merupakan langkah penting dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut melibatkan kenderaan awam, selain mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan ketika dalam perjalanan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pengguna jalan raya.