KUALA LUMPUR – Jualan biskut raya jenama MyPride yang dihasilkan oleh prospek Jabatan Penjara Malaysia mencatat kejayaan besar apabila mencecah nilai RM1 juta menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarah Penjara Malaysia, KJP Dato’ Haji Abdul Aziz Bin Abdul Razak, berkata beliau merakamkan penghargaan kepada Seksyen Vokasional dan Industri jabatan itu atas usaha mereka dalam membangunkan program latihan dan pemasaran produk yang berdaya saing.
Sehingga 25 Mac, lebih 80,000 balang biskut raya MyPride telah terjual. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kualiti produk MyPride, tetapi juga membuktikan keberkesanan program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan prospek penjara dengan kemahiran berguna bagi kehidupan selepas pembebasan.
Pencapaian itu diraikan dalam satu majlis di Istana Kehakiman sempena Hari Bersama Jabatan Penjara Malaysia.
Sebelum ini, pempengaruh media sosial yang juga seorang peguam, Tun Laila Tun Rafaee, turut memainkan peranan dalam memperkenalkan produk MyPride kepada umum melalui hantaran video di platform TikToknya.
Produk MyPride terus mendapat kepercayaan masyarakat sebagai jenama berkualiti yang bukan sahaja menyajikan makanan enak tetapi juga menyumbang kepada pembangunan insan dalam kalangan prospek penjara.