KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.1 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS, diikuti Lebuhraya KL-Karak (216,000), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (176,000), Lebuhraya Pantai Timur 1 (156,000), dan LPT2 (70,000) pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini.
Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota menuju ke arah Pantai Timur, Utara, dan Selatan tanah air dijangka meningkat bermula hari ini, mengambil kira cuti sekolah tambahan pada 2 hingga 4 April.
Aliran trafik kembali ke ibu kota pula dijangka meningkat pada 5 dan 6 April.
Bagi mengurangkan kesesakan, LLM telah mengambil beberapa langkah, termasuk memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuh raya, kecuali bagi kerja kecemasan, bermula 24 Mac hingga 7 April.
Selain itu, laluan ‘smart lane’ turut diaktifkan di 28 lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS, membolehkan pengguna menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan.
Penunggang motosikal dinasihatkan supaya sentiasa fokus ketika menunggang dan peka dengan pengaktifan ‘smart lane’ di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.
Sebanyak 472 lokasi tempat berlindung motosikal turut disediakan di sepanjang lebuh raya.
Syarikat konsesi lebuh raya utama turut diingatkan untuk memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik dan semua kemudahan seperti parkir dan tandas sementara disediakan untuk menampung keperluan pengguna.
Bekalan minyak di stesen-stesen minyak juga dipastikan mencukupi dengan kerjasama pengusaha stesen.
Tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan akan dilaksanakan bermula 29 hingga 30 Mac dan 5 hingga 6 April, langkah yang dijangka dapat membantu aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan merujuk aplikasi MyPLUS-TTA daripada pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di lebuh raya mereka.