- Advertisement -
 |
“Doa orang ramai mengiringimu, Syed Saddiq”, demikian kata-kata semangat daripada pelakon dan penyanyi Bella Astillah kepada Ahli Parlimen Muar itu dalam satu hantaran di Instagram malam tadi. (Foto MYBERITA) |
PUTRAJAYA – “Doa orang ramai mengiringimu, Syed Saddiq”, demikian kata-kata semangat daripada pelakon dan penyanyi Bella Astillah kepada Ahli Parlimen Muar itu dalam satu hantaran di Instagram malam tadi.
Rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.
Menerusi perkongsian sama, Bella turut memuat naik gambar bersama Syed Saddiq yang dipercayai dirakam ketika mereka menyiapkan barangan bantuan untuk golongan memerlukan.
Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau akan terus mempertahankan integritinya dan mengharapkan keajaiban doa pada hari Nurul Quran ini.
“Saya akan terus mempertahankan integriti saya di mahkamah.
“Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari yang istimewa ini,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang reaksi sebak dalam kalangan ramai pengguna media sosial yang mendoakan yang terbaik buat Syed Saddiq.
“Semoga anda berdua terus kuat. Doa kami semua mengiringi Syed Saddiq. Bella Astillah solat hajat malam tadi.
“Semoga dipermudahkan segala urusan,” tulis seorang pengguna.
Bella dan Syed Saddiq sebelum ini menjadi perhatian netizen selepas mereka bergandingan sebagai wajah kempen raya bagi sebuah jenama pakaian popular. Digelar BASS (Bella Astillah dan Syed Saddiq), mereka juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan termasuk mengagihkan bantuan di beberapa kawasan seperti Muar dan Semporna, Sabah.
Sebelum ini, Syed Saddiq, 32, dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa beliau akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk segera melengkapkan rayuan tersebut.
Terdahulu, dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 28 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Selain itu, mahkamah juga menyatakan bahawa tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Armada menimbulkan inferens niat jahat (bad faith).
Iklan