AMPANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di hadapan Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kampung Cheras Baru, petang tadi.
Menurut maklumat awal, insiden itu berlaku kira-kira pukul 6.07 petang ketika hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Mangsa dilaporkan terjatuh bersama seorang lagi rakan perempuan berusia 11 tahun. Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada paip di dalam longkang sebelum diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta polis di sepanjang laluan longkang utama termasuk di sekitar kawasan Cheras.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail dalam kenyataannya mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa operasi SAR dihentikan sementara pada jam 10.30 malam disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.
“Operasi mencari akan disambung semula esok bermula pukul 8 pagi,” katanya.