Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASAKDN FC bakal disiasat FIB jika wujud pengisytiharan tidak tepat

KDN FC bakal disiasat FIB jika wujud pengisytiharan tidak tepat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berdepan kemungkinan disiasat oleh First Instance Body (FIB) sekiranya didapati membuat sebarang pengisytiharan tidak tepat dalam permohonan lesen kebangsaan bagi musim 2025–2026.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, lesen telah diberikan kepada KDN FC berdasarkan semakan teliti yang dibuat mengikut Artikel F.04 di bawah Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Edisi 2024–2025.

“FIB melalui Unit Pelesenan Kelab MFL telah membuat semakan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan mengesahkan tiada tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super KDN FC setakat 31 Disember 2024.

“Namun bagi pasukan bawah 23 tahun, KDN FC telah menyerahkan dokumen sokongan melibatkan surat persetujuan pelan pembayaran ansuran yang ditandatangani semua pemain terbabit.

“Walaupun dokumen ini memenuhi syarat Artikel F.04, Unit Pelesenan Kelab akan terus memantau pelan ansuran tersebut secara berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa KDN FC juga telah menghantar surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berserta pengesahan rasmi daripada kedua-dua agensi itu.

“Sebagai langkah susulan, Unit Pelesenan Kelab diarahkan untuk memantau pematuhan pelan tersebut melalui penghantaran bukti resit pembayaran secara berkala sehingga semua tunggakan diselesaikan.

“FIB ingin menegaskan bahawa jika terdapat isu berkaitan sebarang dokumen atau pengisytiharan tidak tepat kepada Club Licensing Administration (CLA) MFL bagi tujuan lesen musim akan datang, siasatan boleh dimulakan terhadap perkara itu,” jelasnya.

Terdahulu, timbul persoalan dalam kalangan bekas pemain mengenai kelayakan KDN FC memperoleh lesen kebangsaan walaupun didakwa masih berdepan tunggakan gaji.

KDN FC merupakan antara tiga kelab yang diberikan lesen penuh oleh FIB Pelesenan Kelab MFL, selain Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC, sekali gus mengesahkan penyertaan mereka dalam Liga Super musim depan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN