KUALA LUMPUR – Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bersetuju menyediakan lebih 100 unit rumah sementara kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada Selasa lepas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rumah-rumah berkenaan akan disediakan melalui skim SMART Sewa Selangor, dengan sebahagiannya terletak di Kota Warisan, Sepang manakala lokasi lain akan diumumkan kemudian.
“Jika semuanya berjalan lancar, dalam tempoh seminggu atau dua minggu, mangsa boleh ditempatkan di rumah SMART Sewa dan juga di unit Airbnb yang akan ditentukan lokasinya,” katanya dalam sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan akhir dan perjanjian berkaitan penempatan sementara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas bagi memastikan tekanan terhadap mangsa dapat dikurangkan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, lebih ramai mangsa dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini setelah pihak berkuasa teknikal mengesahkan keselamatan kediaman mereka.
“Kumpulan kedua mangsa melibatkan baki daripada 115 rumah yang disahkan selamat.
Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas penyambungan semula perkhidmatan utiliti diselesaikan,” katanya.
Kebakaran yang berlaku pada 8.10 pagi Selasa lalu melibatkan saluran gas milik Petronas dan menyebabkan gangguan besar kepada 1,254 penduduk daripada 308 keluarga.
Daripada jumlah itu, 87 buah rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 lagi memerlukan pembaikan sebelum boleh dihuni semula.