SUBANG JAYA – Sebanyak 20 agensi terlibat dalam siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, yang berlaku semalam.
Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah.
Ketua Polis Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata bahawa Jalan Persiaran Harmoni telah ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pasukan keselamatan menjalankan tugas mereka.
Namun, laluan akan dibuka secara beransur-ansur kepada penduduk yang terjejas.
“Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi terlibat bagi menjalankan siasatan serta tindakan susulan yang perlu dilakukan di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Subang Jaya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan penilaian terhadap kerosakan rumah serta kenderaan yang terjejas akibat letupan paip gas tersebut.
Menurutnya, JBPM juga bekerjasama dengan TNB untuk menilai keselamatan pendawaian elektrik di kawasan kejadian.
“Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung pendawaian elektrik, khususnya yang terdedah.
Kita akan lihat sama ada pendawaian itu selamat atau perlu tindakan lanjut bagi membolehkan penyambungan segera dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, JBPM turut memberi perhatian terhadap struktur rumah yang mengalami kerosakan akibat impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Jika struktur rumah didapati tidak selamat, kita mungkin akan melakukan kerja-kerja merobohkan bahagian tertentu seperti bumbung bagi mengelakkan risiko kepada penghuni,” jelas Nor Hisham.
JBPM juga telah menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta Ibu Pejabat untuk mempercepatkan siasatan dan memudahkan penduduk yang terjejas kembali ke kediaman mereka secepat mungkin.
Tinjauan di lokasi mendapati puluhan penduduk telah berkumpul sejak awal pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini serta menunggu giliran untuk pulang mengambil barang keperluan dan dokumen penting.
Turut kelihatan di lokasi kejadian ialah pasukan Unit Anjing Pengesan dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman yang menjalankan pemeriksaan lanjut.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, memaklumkan bahawa pemeriksaan rapi oleh agensi berkaitan perlu dilakukan sebelum penghuni dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam insiden ini dan mereka kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Heights serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).