PUCHONG – Sebuah stesen minyak Petronas di Taman Puchong Perdana, Selangor, mengalami kebakaran pagi tadi yang mengakibatkan penduduk sekitar mendakwa kawasan mereka dihujani batu pasir dan debu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, mengesahkan kejadian itu dan menyatakan bahawa pihaknya menerima aduan berhubung insiden tersebut pada pukul 8.23 pagi.
Menurut beliau, kebakaran dikesan berlaku di saluran paip gas di stesen minyak berkenaan.
“Pasukan bomba segera dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran dan mengelakkan sebarang kejadian yang lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, video kejadian tular di media sosial, dengan pelbagai dakwaan mengenai punca kebakaran. Beberapa pengguna mendakwa ia berpunca daripada kebocoran paip gas di stesen tersebut.
Selain itu, penduduk sekitar di Puchong dan Putra Heights memaklumkan kawasan mereka terjejas akibat debu dan batu pasir yang dipercayai kesan daripada insiden berkenaan.
Sehingga kini, tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.