KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pengerusi Badan Bebas First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan bahawa kegagalan dua pasukan berkenaan memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR) menjadi punca lesen kebangsaan mereka ditolak.
“Lapan pasukan Liga Super berjaya memperoleh lesen kebangsaan untuk musim 2025-2026 iaitu Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menariknya, dua pasukan dari Liga Bola Sepak Amatur (AFL A1), Melaka FC dan Imigresen FC, turut berjaya memperoleh lesen kebangsaan selepas permohonan mereka di bawah Artikel 15 melalui Lesen Kebangsaan Luar Biasa diluluskan oleh FIB bagi membolehkan mereka bersaing dalam Liga Super musim depan.
Sementara itu, tiga lagi kelab – Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC – diberikan lesen kebangsaan bersyarat selaras dengan Artikel 8(l) MFL CLR.
“Kelab-kelab tersebut perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan untuk memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei ini.
Sekiranya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, lesen kebangsaan mereka boleh ditarik balik oleh FIB,” tegas Sheikh Mohd Nasir.
Keputusan ini menyaksikan perubahan besar dalam senarai pasukan Liga Super musim 2025-2026 dan memberi peluang kepada pasukan dari liga lebih rendah untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak negara.