SHAH ALAM – Sebuah kedai emas di sini mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas tiga utas rantai tangan serta dua cincin emas dilarikan seorang lelaki dan wanita yang berpura-pura hendak membeli barang kemas, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang jurujual wanita berusia 26 tahun pada jam 4.55 pagi, Ahad.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang, Sabtu, apabila kedua-dua suspek berpura-pura berminat untuk membeli barangan kemas. Ketika jurujual sibuk mengambil pelbagai barangan untuk ditunjukkan, suspek wanita bertindak mengambil beberapa barang kemas tanpa disedari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Iqbal, kehilangan barangan itu hanya disedari selepas pasangan berkenaan beredar, dan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek wanita mencuri barang kemas tersebut ketika jurujual leka.
“Antara barangan yang dicuri ialah dua bentuk cincin emas 916 dan tiga utas rantai tangan emas 916 dengan anggaran berat keseluruhan 244.08 gram, melibatkan kerugian sekitar RM111,743.55,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek kini sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Prabagaran Nair di talian 011-26394419 bagi membantu siasatan,” katanya.