Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAHIBURANKekejangan otot tak halang semangat, Qobin dan Amar hampir tiba di Madinah

Kekejangan otot tak halang semangat, Qobin dan Amar hampir tiba di Madinah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengembaraan penuh cabaran pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobin), dalam misi “Journey to Tanah Haram” kini hampir ke penghujung apabila mereka dijangka tiba di Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.

Setelah merentasi beberapa negara dengan berbasikal serta menggunakan pengangkutan darat dan udara, mereka kini berada di Qassim, Arab Saudi selepas menyempurnakan kayuhan dari Riyadh ke Al-Ghat. Pasangan ini kini bersedia untuk menempuh perjalanan sejauh 120 hingga 150 kilometer dari Al Henakiyah menuju ke destinasi akhir mereka di Madinah.

Menurut Qobin, beliau mengalami kekejangan otot akibat cuaca panas ekstrem di kawasan gurun dan perlu berehat selama dua malam di Qassim bagi memulihkan diri. Beliau turut memohon doa dan sokongan rakyat Malaysia agar segala urusan perjalanan ke Madinah dipermudahkan.

Dalam kenyataan sama, Amar Baharin berkongsi pengalaman luar biasa sepanjang misi itu, termasuk insiden tayar basikal pancit yang berlaku di tempat strategik seperti di depan bengkel atau kawasan teduh. Selain itu, mereka menerima pelbagai bentuk bantuan daripada penduduk tempatan, termasuk makanan, minuman dan penginapan percuma, terutamanya daripada rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

“Bantuan yang kami terima amat luar biasa. Kami cuba elakkan daripada menyusahkan sesiapa, namun Allah telah memudahkan segalanya untuk kami,” ujar Amar.

Beliau turut memaklumkan bahawa kos keseluruhan misi kayuhan itu tidak melebihi RM12,000, hasil bantuan serta sumbangan daripada pelbagai pihak sepanjang perjalanan mereka.

Misi ini telah dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 27 April lalu di Padang Besar, Perlis. Laluan asal misi melibatkan Thailand, India, Pakistan, Iran, UAE dan Arab Saudi, namun terpaksa diubah dan tidak melalui India serta Pakistan atas faktor keselamatan susulan konflik yang melibatkan kedua-dua negara.

Misi “Journey to Tanah Haram” ini bukan sahaja mencabar fizikal dan mental peserta, tetapi juga menjadi simbol pengorbanan dan keazaman dalam menggapai tujuan spiritual yang tinggi.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN