Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALKelantan catat kes penagihan dadah ketiga tertinggi di Malaysia

Kelantan catat kes penagihan dadah ketiga tertinggi di Malaysia

Foto hiasan

KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan jumlah kes penyalahgunaan dan penagihan dadah ketiga tertinggi di Malaysia dengan seramai 21,338 individu direkodkan sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata angka tersebut berdasarkan rekod Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), yang menunjukkan Kelantan berada di kedudukan ketiga selepas Selangor dan Johor.
Menurutnya, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 25,032 orang penagih, diikuti Johor dengan 21,366 orang sepanjang tahun 2024.
“Jika dibandingkan berdasarkan kadar per 100,000 penduduk, Kelantan sebenarnya merekodkan jumlah tertinggi, dengan anggaran 1.8 juta penduduk di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan bersama lebih 30 jabatan kerajaan, individu, dan NGO di Tunjong, di sini semalam.
Tambahnya, negeri Kedah berada di kedudukan keempat dengan 19,915 kes, diikuti Perak (16,002), Pulau Pinang (14,452), dan Pahang (12,833).
Zamakhshari yang juga Pengerusi Pemadam Kelantan berkata, peningkatan kes dadah di negeri ini amat membimbangkan dan memerlukan langkah intervensi holistik bagi menangani masalah tersebut.
“Langkah pencegahan yang akan dirangka bukan hanya bertumpu kepada usaha membanteras penyalahgunaan dadah, tetapi turut menekankan aspek pemulihan penagih serta pencegahan awal,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan negeri, NGO dan agensi berkaitan adalah penting dalam memastikan masalah penagihan dadah dapat dikurangkan secara berkesan di Kelantan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN