Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURAN"Kepala dipijak demi cinta", Meerqeen pernah jadi mangsa hubungan toksik

“Kepala dipijak demi cinta”, Meerqeen pernah jadi mangsa hubungan toksik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Meerqeen mendedahkan pernah terjebak dalam hubungan toksik sehingga sanggup beralah dan menurut kehendak kekasih semata-mata kerana cinta.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, mengakui pernah mengalami pengalaman pahit apabila dirinya diperlakukan dengan buruk oleh bekas kekasih, namun enggan membalas kerana terlalu menyayangi wanita itu.

“Dulu saya pernah berada dalam situasi diherdik, dihina, malah kepala dipijak secara simbolik… tetapi saya tak pernah marah semula. Saya diam dan telan semua itu sebab sayang.

“Tapi kesabaran saya ada hadnya. Akhirnya saya buat keputusan untuk pergi kerana saya sedar, perangai toksik itu takkan berubah,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan barisan pelakon drama bersiri Thariq Ridzuwan Commando’s: His Treasure, baru-baru ini.

Meerqeen berkata, ramai lelaki seperti dirinya yang sabar dalam percintaan, walaupun terpaksa menanggung penderitaan emosi.

“Saya percaya masih ramai lelaki yang ‘green flag’, yang sanggup terima macam-macam demi cinta dan harapan pasangan akan berubah. Tapi bila sampai satu tahap, kita kena sedar harga diri juga penting,” ujarnya.

Dalam drama adaptasi novel popular itu, Meerqeen membawakan watak Thariq Ridzuwan, seorang anggota pasukan khas (Special Force) yang juga suami kepada Husniya Radwa lakonan Qasrina Karim.

Menariknya, karakter Thariq digambarkan sebagai lelaki tenang dan penyayang yang tidak pernah meninggikan suara, walaupun berdepan sikap isteri yang keras dan kasar.

Menurut Meerqeen, watak tersebut turut mencerminkan sedikit sebanyak sisi dirinya yang sebenar.

“Saya memang dah faham dan selami karakter Thariq ni. Tenang, sabar, dan jenis yang tak cepat melenting. Kebetulan juga saya tak baca keseluruhan novel sebab nak olah watak berdasarkan skrip, bukan imaginasi pembaca.

“Saya tahu peminat novel ni dah ada pilihan pelakon sendiri, tapi saya anggap itu cabaran untuk beri yang terbaik,” jelasnya lagi.

Meerqeen turut mendedahkan bahawa penggambaran drama 16 episod arahan Eyra Rahman itu akan bermula pada 10 April ini dan dijangka mengambil masa dua bulan.

“Bekerja dengan Eyra Rahman juga antara impian saya. Jadi saya anggap peluang ni sebagai amanah dan saya akan beri 100 peratus komitmen,” katanya.

Selain Meerqeen dan Qasrina, drama yang bakal ditayangkan di Astro Ria pada Julai depan itu turut menampilkan Noki K-Clique, Afiq Hamidon, Avertts Gomes, Mia Sara Shauki, Jay Iskandar dan Azri Safix.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN