PETALING JAYA — Mahkamah Seksyen di sini hari ini menetapkan 21 Julai depan bagi keputusan sama ada ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akan dilepas atau dipanggil membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 28 saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung sejak perbicaraan bermula 4 Februari lalu.
“Mahkamah menetapkan keputusan pada 21 Julai ini dan sekiranya tertuduh-tertuduh dipanggil membela diri, perbicaraan bela diri akan bermula pada hari sama sehingga 24 Julai. Mahkamah turut menetapkan 23 Mei untuk hujahan bertulis dan 6 Jun bagi hujahan balas kedua-dua pihak,” katanya di akhir prosiding hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas saksi terakhir, Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail selesai memberi keterangan, termasuk sesi pemeriksaan semula.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf diwakili barisan peguam terdiri daripada Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang ketika itu berusia enam tahun dan merupakan kanak-kanak autistik, dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023 di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai serta kawasan sungai berhampiran.
Dalam perbicaraan, mahkamah turut mendengar keterangan dua saksi kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat Zayn Rayyan dalam keadaan masih hidup, selain pengasuh kepada kanak-kanak tersebut.
Antara bukti penting yang dikemukakan adalah perbualan WhatsApp antara pasangan tersebut, termasuk mesej berbentuk tekanan emosi dan kemarahan seperti “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je,” “Hang belasah je la sampai puas,” dan “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”
Sebelum perbicaraan bermula, pasangan itu turut mengemukakan bantahan awal untuk membatalkan pertuduhan atas alasan ia tidak diperincikan. Bagaimanapun, pada 13 Mac lalu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan dengan memperincikan lokasi kejadian.
Kes ini terus mendapat perhatian umum berikutan kematian tragik Zayn Rayyan serta peranan ibu bapanya yang kini menjadi tumpuan perundangan.