KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan dijangka akan mengumumkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, pada jam 9 pagi esok.
Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Syed Saddiq, 32, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, memfailkan rayuan pada 9 November 2023 bagi mengetepikan sabitan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati beliau bersalah atas kesemua pertuduhan melibatkan dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Berdasarkan pertuduhan, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, dalam menyalahgunakan dana sebanyak RM1 juta milik Armada pada 6 Mac 2020. Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral dan didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Selain itu, beliau turut dituduh menyalahgunakan wang sebanyak RM120,000 daripada akaun milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk kepentingan peribadi antara 8 hingga 21 April 2018, di Maybank Islamic, Pandan Jaya, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan masing-masing RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada 16 dan 19 Jun 2018. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda lima kali ganda hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding rayuan yang berlangsung sebelum ini, peguam bela yang mewakili Syed Saddiq ialah Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Keputusan Mahkamah Rayuan esok bakal menjadi penentu kepada masa depan politik Syed Saddiq serta impak terhadap landskap politik negara.