PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diumumkan pada 24 April ini, melibatkan seramai 402,956 calon yang telah mendaftar menduduki peperiksaan tersebut di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan SPM 2024 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.
“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mendaftar bagi menduduki peperiksaan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, semakan keputusan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://myresultspm.moe.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan menghantarnya ke 15888.
Perkhidmatan semakan secara atas talian dan SMS akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi, 24 April dan ditamatkan pada pukul 6 petang, 30 April 2025.
Dalam pada itu, KPM turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon atas keputusan yang bakal diterima.
“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.