- Advertisement -
 |
Semakan keputusan boleh dilakukan oleh penjaga atau ibu bapa pada hari berkenaan bermula jam 2 petang. |
PUTRAJAYA – Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun 2024 boleh disemak mulai 20 Mac 2025 melalui laman web rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di https://semakan.islam.gov.my/.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, semakan keputusan boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga bermula jam 2 petang pada hari berkenaan dengan menggunakan nombor MyKid dan nombor angka giliran calon.
“Selain semakan dalam talian, ibu bapa atau penjaga juga boleh mendapatkan Slip Keputusan UPKK Tahun 2024 daripada sekolah masing-masing mulai 21 Mac 2025 bermula jam 9.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan UPKK Tahun 2024 akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pada 20 Mac 2025, jam 12 tengah hari.
Ujian UPKK merupakan salah satu penilaian penting bagi murid-murid yang mengikuti pendidikan KAFA di seluruh negara, merangkumi pelbagai aspek pembelajaran agama Islam.
Iklan