Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKONOMIBeli 15 Toyota Camry untuk kegunaan pentadbiran - Chow

Beli 15 Toyota Camry untuk kegunaan pentadbiran – Chow

- Advertisement -

GEORGETOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan pembelian 15 unit kenderaan baharu jenis Toyota Camry (AT) (CBU) bagi menggantikan kenderaan rasmi sedia ada yang digunakan sejak tahun 2020.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keseluruhan pembelian berjumlah RM3.31 juta itu adalah untuk keperluan rasmi pentadbiran negeri termasuk barisan Exco dan pegawai tinggi kerajaan.

“Kenderaan ini dibeli untuk kegunaan rasmi 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tiga pegawai ex-officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri serta Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Dua lagi kenderaan adalah untuk kegunaan rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Timbalan Yang Dipertua,” katanya ketika menjawab pertanyaan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya, purata harga setiap unit kereta adalah RM220,783 dan semua kenderaan telah diserahkan kepada kerajaan negeri kira-kira dua bulan lalu.

Pembelian itu bagaimanapun mencetuskan persoalan dalam dewan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah (Pas), meminta penjelasan mengenai justifikasi perbelanjaan tersebut memandangkan terdapat laporan sebelum ini berkaitan isu kewangan yang dihadapi negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa pembelian tersebut dibuat bagi memastikan kelancaran urusan rasmi kerajaan negeri dan bagi menggantikan kenderaan lama yang semakin uzur dan memerlukan penyelenggaraan tinggi.

“Pembelian ini adalah sebahagian daripada keperluan logistik kerajaan negeri, dan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN