KUALA LUMPUR – Kerajaan kini sedang meneliti keperluan untuk menstruktur semula sistem pembiayaan kesihatan negara bagi memastikan ia lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka panjang, selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha ini menekankan kepentingan tadbir urus, perolehan dan pelaksanaan yang efisien, melibatkan peranan utama beberapa kementerian, terutamanya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, dalam merangka pelan pelaksanaan seterusnya.
Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ke-8 bagi tahun 2025, yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh enam menteri Kabinet serta pegawai tertinggi perkhidmatan awam.
“Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada pembentangan mengenai hala tuju dan inisiatif transformasi sistem pembiayaan kesihatan secara berfasa, termasuk cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Selasa.
Dalam masa sama, mesyuarat turut meneliti Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi, bagi menangani cabaran negara menghadapi populasi yang semakin menua.
“Saya mengambil maklum mengenai langkah-langkah awal yang sedang dilaksanakan, termasuk keperluan mewujudkan mekanisme tadbir urus rentas kementerian yang lebih menyeluruh dan bersepadu,” tambah Perdana Menteri.
Inisiatif ini dijangka memperkukuh sistem perlindungan sosial negara, selain memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela dalam menghadapi perubahan demografi dan cabaran ekonomi semasa.