KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua peniaga rokok elektronik (e-rokok) atau vape menurunkan iklan dan promosi berkaitan produk itu dengan segera atau berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, arahan itu telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen bagi penjualan dan perniagaan e-rokok atau vape.
“Mereka berniaga tanpa izin, tanpa lesen, dan memaparkan iklan secara sendiri,” katanya dalam sidang media selepas lawatan rasmi ke Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hari ini.
Menurut beliau, MBDK sahaja telah mengenal pasti 45 premis yang menjalankan perniagaan dan memaparkan iklan vape, dan jumlah itu dijangka lebih tinggi di seluruh negeri.
Suee Lim berkata, semua PBT kini dibenarkan mengeluarkan notis kepada peniaga dalam kawasan masing-masing supaya menurunkan iklan berkaitan vape dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jika mereka gagal mematuhi arahan, PBT boleh mengambil tindakan termasuk menurunkan iklan tersebut, dan peniaga akan dikenakan saman,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keputusan muktamad untuk mengharamkan penjualan e-rokok di Selangor masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan.
Sebelum ini, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin turut menyatakan bahawa semua PBT di Selangor telah diarahkan menyita iklan vape, susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan e-rokok dalam kalangan generasi muda.