PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menamatkan kawalan harga telur ayam dan mengurangkan subsidi bahan mentah itu sebanyak 50 peratus bermula 1 Mei, sebelum pemberian subsidi dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar subsidi dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.
Menurut KPKM, langkah ini dibuat selepas mengambil kira komitmen industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam kekal stabil serta mencukupi, seperti yang dibuktikan sepanjang musim Aidilfitri lalu.
“Kerajaan turut mengambil langkah intervensi, antaranya pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah,” katanya.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik COVID-19 serta konflik antara Ukraine dan Russia yang menjejaskan harga import bijian utama seperti soya dan jagung.
Tambah KPKM, langkah penyasaran semula subsidi ini juga lebih adil kerana subsidi sebelum ini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.
“Kawalan harga dan subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan untuk kelangsungan industri pengeluaran telur tempatan serta kedudukan kewangan negara,” jelas kenyataan itu.
Kerajaan berharap pendekatan baharu ini dapat memastikan bekalan telur ayam kekal stabil dan mencukupi tanpa membebankan fiskal negara.