GOMBAK – Kerajaan terbuka untuk mengkaji semula jumlah pinjaman yang disediakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar, khususnya melibatkan keperluan sebenar mahasiswa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, perkara itu kini sedang diteliti oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebarang keputusan akan mengambil kira kemampuan kewangan negara serta tanggungjawab untuk memastikan akses pendidikan tinggi kekal terbuka kepada semua golongan.
“Insya-Allah, kita cuba menilai semula. Hutang terkumpul PTPTN ketika ini hampir mencecah RM40 bilion dan jika tidak diurus dengan baik, ia boleh meningkat kepada RM50 bilion. Namun begitu, kerajaan tetap komited membantu pelajar berdasarkan keperluan mereka,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang mahasiswa dalam Program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Anwar turut mencadangkan agar golongan berpendapatan tinggi menyumbang lebih banyak bagi meringankan beban pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
“Jika ibu bapa yang sangat berkemampuan menyumbang lebih, kita boleh agihkan sumber itu untuk membantu pelajar lain yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Namun, beliau mengakui cadangan menaikkan cukai kepada golongan kaya bagi membiayai pendidikan percuma atau subsidi tambahan mungkin mencetuskan perbalahan politik.
“Ini negara demokrasi, kalau kita naikkan cukai, pembangkang akan serang saya habis-habisan,” katanya.
Tambah beliau, hanya sekitar 15 peratus golongan teratas akan terkesan dengan langkah tersebut, manakala 85 peratus rakyat tidak akan terbeban.
“Kalau duduk rumah banglo ada 10 bilik, enam aircond dan lima kipas, tidak patut bayar kadar elektrik sama macam rakyat biasa,” jelasnya, sambil menegaskan perlunya keadilan dalam agihan subsidi dan bantuan.
Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia masih menyediakan jumlah subsidi tertinggi di kalangan negara ASEAN, sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.