MIRI – Seorang pemandu dan penumpangnya terselamat dan hanya mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok sebelum terbakar dalam kejadian petang Isnin lalu berhampiran lampu isyarat Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, di sini.
Dalam kejadian tersebut, kereta yang dipandu oleh Muhd Nursyafik Ramli, 31, terbabas lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan, menyebabkan kenderaan itu terbakar sehingga 90 peratus.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 petang sebelum menghantar lapan anggota bersama sebuah jentera pemadam api ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula pam jentera serta sumber air dari tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya. Operasi tamat pada jam 6.10 petang,” menurut kenyataan itu.
Komander Operasi melaporkan bahawa kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Muhd Nursyafik mengalami kecederaan di bahagian dada, manakala penumpangnya, Nurnatasha Abdullah, 32, mengalami patah kaki. Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut.