PUTRA HEIGHTS – Usaha mengeluarkan air bertakung susulan hujan lebat semalam menjadi tumpuan utama pasukan penyelamat dalam operasi hari keenam insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan kerja-kerja penilaian keselamatan yang tergendala sebelum ini dapat diteruskan.
“Kita masih lagi tumpukan kawah kebakaran untuk pagi ini sebab masih banyak air perlu disedut keluar sebelum boleh sambung kerja-kerja penilaian macam biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, satu sidang media dijadual berlangsung jam 4 petang ini di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, yang akan dikendalikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisyam Mohammad berkata, kerja penilaian akhir keselamatan kawasan kawah dijangka selesai hari ini, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam masa terdekat.
Beliau memaklumkan, penilaian tersebut hanya melibatkan kawasan kawah kebakaran dan tidak termasuk kawasan infrastruktur lain yang turut terjejas dalam kejadian tersebut.
Insiden letupan saluran gas milik Petronas yang berlaku pada jam 8.10 pagi, Selasa lalu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter, dengan suhu mencapai 1,000 darjah Celsius. Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya hampir lapan jam kemudian.
Kejadian yang berlaku pada hari raya kedua itu mengakibatkan sebanyak 148 rumah mengalami kerosakan tetapi masih boleh didiami selepas dibaik pulih, manakala 87 lagi rumah rosak teruk dan tidak selamat untuk diduduki.
Setakat semalam, seramai 509 keluarga telah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS), namun sebahagian daripada mereka tidak tinggal di situ kerana berada di luar kawasan sewaktu kejadian berlaku.
Orang ramai yang masih belum mendaftar dinasihatkan berbuat demikian segera bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang telah diumumkan. Pendaftaran di PPS akan ditutup tengah hari ini.