PULAU PINANG – Polis telah merakamkan keterangan terhadap lima daripada tujuh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di negeri ini yang disyaki terlibat dalam kejadian buli membabitkan rakan sekelas, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, kelima-lima pelajar termasuk mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS untuk memberi keterangan sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Baki dua lagi pelajar akan dipanggil dalam masa terdekat dan keterangan dijangka disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kesemua tujuh pelajar yang terlibat adalah pelajar Tingkatan Tiga di MRSM berkenaan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Sebelum ini, media melaporkan satu kejadian buli di sekolah berkenaan tular di media sosial selepas satu klip video menunjukkan sekumpulan pelajar menyerang seorang pelajar lain dimuat naik di Facebook.
Susulan kejadian, polis membuka satu kertas siasatan dan kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan di Facebook menyarankan agar semua pelajar terbabit dikenakan tindakan buang sekolah.
Beliau memaklumkan hasil siasatan mendapati dua pelajar terlibat secara langsung dalam buli fizikal, manakala lima lagi bertindak sebagai rakan subahat.
“Disyorkan kesemua mereka ditamatkan pengajian di MRSM. Mengikut laporan pegawai saya, pelajar-pelajar terbabit telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing semalam dan hari ini,” katanya.
Kes ini terus mendapat perhatian masyarakat yang mahukan tindakan tegas diambil bagi membanteras budaya buli di sekolah, terutamanya di institusi pendidikan berprestij seperti MRSM.