Khamis, 17 Julai 2025
UTAMANASIONALKes HFMD di Johor terus meningkat, cecah 1,687 kes dalam seminggu

Kes HFMD di Johor terus meningkat, cecah 1,687 kes dalam seminggu

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila lonjakan 17.1 peratus direkodkan dalam tempoh seminggu, menjadikan jumlah kes terkini sebanyak 1,687 pada Minggu Epid (ME) ke-18, berbanding 1,441 kes pada minggu sebelumnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, aliran jangkitan HFMD berada pada paras tinggi dan telah melepasi tahap amaran sejak awal tahun. Katanya, bilangan kes tahun ini jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata, sebanyak lima kluster baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 79 kluster HFMD di Johor bagi tahun 2025, membabitkan 26 tabika, 20 prasekolah, 18 taska, 13 tadika serta masing-masing satu sekolah rendah dan rumah persendirian.

“Sebanyak 400 kes dikesan daripada 3,202 individu yang terdedah, dengan kadar serangan antara 3.9 hingga 42.9 peratus. Majoriti kes membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu 81.3 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, langkah-langkah pencegahan seperti disinfeksi premis, pendidikan kesihatan dan pemantauan sedang giat dilaksanakan. Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut mengeluarkan dua surat amaran pada 11 Mac lalu kepada semua pengarah hospital, pegawai kesihatan serta pengusaha dan guru institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Tian Soon turut menyeru semua pengusaha institusi kanak-kanak supaya meningkatkan langkah berjaga-jaga seperti mengamalkan kebersihan diri, membasuh tangan dengan sabun, dan memastikan alat mainan serta permukaan di pusat jagaan dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Katanya, pelajar yang menunjukkan gejala perlu diasingkan segera sehingga dijemput oleh ibu bapa atau mendapatkan rawatan, dan semua kes HFMD mesti dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dengan segera.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN