- Advertisement -
.png) |
Foto Tiktok Khairul Aming |
KUALA LUMPUR – “Besar ujian masak tahun ni,” demikian kapsyen yang ditulis pempengaruh terkenal, Khairul Aming, menerusi video reaksinya terhadap gelagat pengguna TikTok yang mencuba resipinya sepanjang bulan Ramadan ini.
Dalam video yang dimuat naik, Khairul Aming meluahkan rasa gembira kerana ramai yang mencuba resipi yang dikongsikannya tahun ini.
“Sepanjang lapan tahun buat video masak, saya rasa tahun ini paling menghiburkan tengok gelagat netizen masuk dapur dan memasak.
“Sebenarnya ramai yang berjaya memasak dengan baik kerana ribuan orang telah mencuba resipi yang saya kongsikan. Cuma yang tidak menjadi itulah yang masuk dalam FYP (for you page) sebab mendapat banyak engagement (penglibatan),” katanya.
Khairul Aming turut berpesan kepada para pengikutnya supaya mengikuti resipi dengan tepat bagi memastikan hasil yang terbaik.
“Saya nak pesan, tolong ikut resipi saya sebab saya sudah penat buat R&D (penyelidikan dan pembangunan). Cuma ada yang derhaka resipi, tolong saya merayu, jangan derhaka,” ujarnya.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberikan pelbagai reaksi terhadap perkongsian tersebut.
“Basic knowledge (pengetahuan asas) dalam memasak – minyak dik, letak minyak sikit,” komen pempengaruh, Auntie Purple.
“KA saya syorkan adakan kelas pemulihan bagi yang gagal ni,” seloroh seorang pengguna, @haafizs.
Fenomena mencuba resipi Khairul Aming sepanjang Ramadan kali ini ternyata menghiburkan ramai, sekali gus membuktikan pengaruhnya yang besar dalam dunia kulinari digital.
Iklan