LOS ANGELES – Personaliti popular dan usahawan berjaya, Kim Kardashian, melangkah setapak lebih dekat ke arah impiannya untuk bergelar peguam selepas berjaya menamatkan pengajian undang-undang selama enam tahun melalui program perantis di California.
Kim, 44, tidak mengikuti laluan tradisional universiti, sebaliknya menyempurnakan pengajian menerusi sebuah firma guaman di San Francisco, Amerika Syarikat, di bawah program khas yang membolehkan pelajar belajar sambil bekerja.
“Enam tahun lalu, saya memulakan perjalanan ini hanya berbekalkan semangat dan hasrat untuk memperjuangkan keadilan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut penerima anugerah Choice TV Show: Reality 2016 itu, kejayaannya tidak datang bergolek, malah memerlukan pengorbanan masa dan tenaga yang besar tanpa menjejaskan komitmennya terhadap perniagaan, keluarga, dan penggambaran rancangan realiti.
“Sepanjang tempoh ini, saya meluangkan 18 jam seminggu, 48 minggu setahun selama enam tahun berturut-turut. Jumlah keseluruhan masa yang saya curahkan ialah 5,184 jam,” katanya.
Kim juga memaklumkan bahawa beliau akan layak bergelar peguam secara rasmi selepas menamatkan peperiksaan akhir yang melayakkannya mengamal undang-undang di California.
Kejayaan selebriti sensasi itu turut diraikan dalam sebuah majlis kejutan di Beverly Hills, yang dihadiri anak-anaknya dan adik-beradiknya termasuk Khloé dan Kourtney Kardashian, yang tidak melepaskan peluang berkongsi momen manis itu di laman sosial.
Kim sebelum ini terkenal dengan usaha advokasinya dalam reformasi sistem keadilan jenayah di Amerika Syarikat, termasuk membela beberapa individu yang dipenjara secara tidak adil.