Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHKJ menang saman fitnah vaksin RM2.5 juta

KJ menang saman fitnah vaksin RM2.5 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi membayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung satu kenyataan fitnah berkaitan vaksin Covid-19.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan Khairy selaku plaintif terhadap Mohd. Rasyiq yang lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, selaku defendan.

Selain jumlah ganti rugi tersebut, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Khairy.

Khairy mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd. Rasyiq pada tahun 2022 selepas mendakwa pendakwah itu menyebarkan kenyataan palsu di media sosial yang menuduh beliau mengelirukan orang ramai mengenai status vaksinasinya.

Dalam perbicaraan sebelum ini, peguam mewakili Khairy memberitahu mahkamah bahawa kenyataan defendan yang dimuat naik ke laman media sosial bukan sahaja mempersendakan anak guamnya, malah secara langsung merujuk Khairy serta memetik akaun media sosial beliau.

Menurut peguam itu lagi, Mohd. Rasyiq turut menunjukkan sikap tidak kesal malah bersikap sinis apabila ‘memohon maaf’ kepada Khairy selepas menerima dokumen saman mahkamah.

Khairy dalam tuntutan samannya menyatakan bahawa kenyataan fitnah tersebut bukan sahaja mencemarkan reputasi dirinya, malah turut menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 ketika beliau bertanggungjawab menyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Terdahulu, keputusan kes ini ditangguhkan susulan kematian bapa mentua Khairy, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri Kelima, pada 14 April lalu di Institut Jantung Negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN