Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALKPT teliti cadangan penggunaan bas persiaran sewaan pelajar IPT

KPT teliti cadangan penggunaan bas persiaran sewaan pelajar IPT

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti cadangan berkaitan penggunaan bas persiaran yang disewa oleh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya bagi perjalanan pada waktu malam, bagi memastikan aspek keselamatan pelajar sentiasa diberi keutamaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihak universiti perlu memainkan peranan proaktif dengan memantau secara rapi pergerakan pelajar yang menggunakan perkhidmatan sewaan tersebut.

“KPT telah meminta semua pengurusan universiti agar mewujudkan komunikasi berterusan dan mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi memantau pelajar mereka yang menaiki bas persiaran sewaan untuk pulang ke kampus atau ke kampung halaman,” katanya.

Menurut beliau, kementerian turut mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan masyarakat, termasuk menerusi media sosial, berkaitan isu keselamatan perjalanan malam menggunakan bas sewaan.

“Kita tidak akan mengambil masa lama dalam menyelesaikan sebarang isu yang menyentuh keselamatan pelajar, terutamanya apabila melibatkan kemalangan jiwa. Kementerian memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya agar tragedi seperti ini tidak berulang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir di sini, hari ini. Allahyarham merupakan antara 42 mangsa yang terlibat dalam nahas bas dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan bahawa kerajaan melalui KPT telah mengumpulkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai bantuan awal kepada kesemua mangsa dan keluarga mereka.

“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga mangsa, selain sebagai tanda prihatin terhadap nasib yang menimpa pelajar-pelajar kita,” katanya.

Tambah beliau, KPT akan terus memastikan setiap dasar dan langkah keselamatan perjalanan pelajar ditambah baik dari semasa ke semasa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN