LABUAN – Sebuah kuarters pekerja musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi di Taman Merinding, melibatkan kemusnahan lapan bilik serta sebuah motosikal.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali berkata kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Api merebak dengan cepat berikutan struktur rumah diperbuat daripada kayu. Anggota bomba bertindak segera dan kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 4 pagi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.