KUALA LUMPUR — Penyanyi Marsha Milan tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan kononnya lagu Hening Rindu yang dibawanya sebelum ini bukan dicipta untuk dirinya.
Marsha atau Marsha Milan Londoh, 39, akui beliau ada mendengar khabar angin tersebut, namun tidak menganggap perkara itu sebagai satu isu besar.
“Saya tak boleh nak dedahkan siapa yang maklumkan lagu itu sepatutnya untuk penyanyi lain, tapi saya difahamkan memang ada beberapa nama yang dipertimbangkan untuk menyanyikan lagu tersebut,” katanya kepada MYBERITA.
Marsha berkata, beliau percaya rezeki sudah tertulis untuknya dan bersyukur apabila lagu tersebut berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39). Tambahnya, beliau mengakui ada unsur lagu asli dalam Hening Rindu, namun membawakannya dengan gaya tersendiri.
“Lagu ini memang ada lenggok tradisional, ada alunan lagu asli sikit. Mungkin saya tak mampu nak bawa gaya asli sepenuhnya, tapi saya cuba bawak dengan cara saya sendiri,” ujar penyanyi bersuara lantang itu.
Menurut Marsha, penyanyi lain seperti Dayang Nurfaizah, Siti Nordiana dan Adira juga layak membawakan lagu tersebut kerana keupayaan vokal mereka yang tinggi. Namun, menurutnya lagi, pemilihan penyanyi adalah berdasarkan pelbagai faktor termasuk kesesuaian dan jadual artis.
“Benda ini dipersetujui semua pihak juga. Jadi tak perlulah dijadikan isu yang berpanjangan. Yang penting, lagu itu dapat tempat dan diterima ramai,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Marsha turut meluahkan rasa teruja apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital di Times Square, New York, sebagai wakil kempen Spotify Equal untuk Malaysia dan Singapura.
“Alhamdulillah, saya sendiri tak sangka. Sampai sekarang pun saya tak tahu macam mana nak ungkapkan perasaan ini. Ini adalah pencapaian yang langsung tak ada dalam senarai impian saya,” katanya terharu.
Menurut Marsha, pemilihannya sebagai wajah kempen itu adalah hasil daripada jumlah penstriman lagu-lagunya yang tinggi di platform Spotify, menjadikannya antara artis wanita paling didengar di Malaysia dan Singapura untuk suku tahun tersebut.
“Ini satu inspirasi untuk saya terus memberi warna dalam industri seni. Saya sangat bersyukur,” ketika ditemui pada sidang media Konsert MeleTOP, TVS pada Selasa.