KUALA LUMPUR – Harapan skuad badminton negara untuk mencipta kejutan ke atas juara bertahan, China dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2025 tidak kesampaian apabila tewas mudah 0-3 dalam pertembungan yang berlangsung sebentar tadi.
Aksi dimulakan dengan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun dengan harapan tinggi untuk menyumbang mata pertama, namun akur dengan kekalahan straight set 17-21, 17-21 kepada gandingan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 49 minit.
Walaupun memberikan tentangan, permainan kemas dan agresif pasangan China nyata menyukarkan wakil negara untuk mengawal permainan, sekali gus memberi kelebihan kepada lawan untuk mengutip mata demi mata.
China kemudian menggandakan tekanan menerusi perseorangan lelaki mereka, Shi Yu Qi yang menewaskan Leong Jun Hao dengan keputusan 21-6, 21-14 dalam masa 38 minit. Meskipun Jun Hao cuba memberikan tentangan di set kedua, pengalaman dan ketenangan Shi Yu Qi yang juga pemain nombor satu dunia menjadi faktor penentu.
Nasib malang terus menimpa Malaysia apabila pemain perseorangan wanita, K Letshanaa gagal mengekang kehebatan Chen Yu Fei yang menamatkan perlawanan dengan kemenangan mudah 21-8, 21-7 dalam masa hanya 32 minit, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-0 buat China.
Dengan kemenangan ini, China mara ke separuh akhir dan berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran ke-14 Piala Sudirman di hadapan penyokong sendiri dan dijangka bakal berdepan cabaran sengit daripada pasukan Jepun.