TELUK INTAN – Sekurang-kurangnya lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 7 disahkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, di sini pagi tadi.
Difahamkan, kenderaan tersebut membawa 15 anggota FRU termasuk pemandu dan penumpang, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas kawalan dalam Operasi Chariot di Teluk Intan semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8.54 pagi.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Setakat ini, seramai lapan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Mangsa-mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerja-kerja menyelamat masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap.
Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa dan punca sebenar kemalangan sedang disiasat pihak berkuasa. Kejadian menyayat hati itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan selama beberapa jam.
Orang ramai dinasihatkan agar memberi laluan kepada pasukan penyelamat dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian.