Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAJENAYAHLapan ditahan polis kes pukul beramai-ramai, mangsa terima sembilan jahitan

Lapan ditahan polis kes pukul beramai-ramai, mangsa terima sembilan jahitan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes pukul beramai-ramai terhadap seorang lelaki di sebuah rumah flat di Plentong, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan penahanan itu selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan sejak semalam bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai operator kilang di Taman Puteri, Kluang, mengalami kecederaan serius dan terpaksa menerima sembilan jahitan, tiga di bibir kanan dan enam di telinga kiri selain mengalami bengkak pada dada dan belakang badan.

Siasatan awal mendapati, mangsa sebelum itu menerima pesanan ringkas daripada seorang wanita dikenali yang memintanya datang ke rumah sewanya di kawasan flat berkenaan.

“Ketika tiba, tiga lelaki tidak dikenali datang ke rumah itu, salah seorang membawa sebilah senjata dipercayai parang, diikuti kemunculan tiga lagi lelaki dari sebuah bilik sebelum mereka memukul mangsa secara beramai-ramai menggunakan kayu,” katanya.

Menurut Mohd Sohaimi, kumpulan terbabit turut mengugut dan meminta mangsa membayar wang berjumlah RM3,000. Namun mangsa yang tidak mempunyai jumlah tersebut hanya mampu menyerahkan RM600, manakala motosikal miliknya jenis Yamaha Y16 turut dirampas.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Plentong kira-kira pukul 11.14 malam, Sabtu lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan menyebabkan kecederaan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN