Khamis, 17 Julai 2025
UTAMASEMASALari dari sekatan, pelajar SPM dirempuh dan diseret trak pikap

Lari dari sekatan, pelajar SPM dirempuh dan diseret trak pikap

- Advertisement -

SHAH ALAM – Tindakan seorang pelajar tingkatan lima yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) secara berbahaya membawa padah apabila dia mengalami kecederaan parah selepas dilanggar dan diseret sebuah trak pikap di Kilometer 7.3, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam pada 8 Mac lalu, remaja berusia 17 tahun itu bertindak melawan arus dan menyeberangi pembahagi jalan dalam usaha mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, remaja tersebut membuat pusingan U secara berbahaya sebelum dilanggar trak pikap Toyota Hilux.

“Anggota Unit Rondaan Bermotorsikal yang sedang menjalankan rondaan cuba menahan motosikal yang ditungganginya dan mengarahkan dia berhenti, namun arahan itu tidak diendahkan.

“Remaja tersebut bertindak mengelak dengan menyeberangi jalan dan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya sebelum dilanggar dan diseret trak pikap sehingga terjatuh serta mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kejadian itu, penunggang motosikal jenis Modenas Kriss tersebut mengalami patah paha kiri dan kedua-dua bahunya. Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Siasatan awal mendapati remaja itu bertindak sedemikian kerana tidak mempunyai lesen memandu selain cukai jalan motosikalnya telah tamat tempoh.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Vemal di talian 011-39216101 atau Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman menerusi 017-2836851.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 19 saat yang memaparkan kejadian tersebut telah tular di media sosial.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN