BANGI – “Selepas dapat tahu menghidap kanser payudara tahun lalu, saya tak fikir mengenai rawatan tapi dalam kepala hanya nak habiskan pengajian.”
Demikian luahan penuh semangat Aisyah Humaira’ Mohd Aqbal, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu Pendidikan Rendah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Kedah, yang tetap meneruskan pengajian walaupun disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.
Anak kedua daripada tiga beradik itu menceritakan bahawa dia terpaksa menjalani sembilan sesi kimoterapi dan beberapa pertukaran ubat disebabkan masalah keserasian, namun semangat untuk menamatkan pengajian tidak pernah luntur.
“Sebaik doktor sahkan saya hidap kanser, saya mohon pertukaran dari IPG Miri ke IPG Darulaman supaya lebih dekat dengan keluarga di Alor Setar. Walaupun kesihatan terjejas, saya tetap berusaha hadir kelas dan siapkan tugasan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen IPG Ke-15 di Bangi Avenue Convention Centre, di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Lebih menyentuh hati, Aisyah turut berkongsi rasa terkilan kerana tidak dapat berkongsi kejayaan menggenggam ijazah bersama ibunya yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada 2020.
“Arwah ibu yang banyak mendorong saya masuk IPG sebab beliau juga seorang guru bahasa Melayu. Kalau ibu masih ada, ini pasti hadiah terbaik untuknya,” ujarnya sebak.
Walaupun masih menjalani rawatan dan bergantung pada ubat, Aisyah menegaskan bahawa penyakit yang dihidapinya tidak akan mematahkan semangat untuk bergelar guru.
“Menjadi pendidik adalah cita-cita saya sejak dulu. Saya takkan jadikan sakit sebagai alasan untuk tidak menyumbang kepada anak bangsa,” katanya penuh tekad.